11 October 2009

Sedia pegawai khas PTPTN


Yang Di Pertua MPP UPM mengetuai deligasi pemimpin pelajar kebangsaan menyerahkan resolusi kemasyarakatan hasil daripada kajian terperinci mahasiswa menerusi program Jelajah Mahasiswa Bersama Masyarakat kepada Menteri Pengajian Tinggi.

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kementerian Pengajian Tinggi meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pegawai khas bagi membincangkan isu pembayaran semula pinjaman yang dibuat oleh peminjam perbadanan itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu mungkin dapat menyelesaikan beberapa masalah yang timbul terutama membabitkan peminjam yang ingin membayar semula pinjaman kepada PTPTN.

Selain aduan yang dibuat kepada kementerian berhubung perkara itu katanya, pihak lain seperti Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) turut mendakwa seorang ahlinya yang ingin membuat bayaran ansuran pinjaman itu telah ditolak oleh PTPTN.

''Kita di peringkat kementerian memahami PTPTN mengalami masalah terhadap peminjam tegar yang tidak membayar semula pinjaman.

''Oleh itu kita mohon PTPTN menyediakan pegawai khas bagi menyelia dan mengadakan perbincangan dengan peminjam yang ingin membayar semula pinjaman," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Program Mahasiswa 1Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Menurutnya, pelantikan pegawai khas tersebut bertujuan melancarkan proses pembayaran semula PTPTN berdasarkan kemampuan peminjam.

''Para peminjam boleh berbincang dengan pegawai berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membayar semula pinjaman mereka," ujarnya.

Menurutnya, langkah itu juga sekali gus dapat meningkatkan hasil kutipan hutang pinjaman dan menggalakkan golongan peminjam untuk membayar semula pinjaman.

Sementara itu, sebanyak lima buah universiti menerima geran projek Program Mahasiswa 1Malaysia sebanyak RM30,000 pada majlis tersebut.

Geran tersebut diterima setelah lima buah universiti itu memenangi Pertandingan 1Malaysia anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang disertai oleh 27 buah universiti awam dan swasta.

Mohammed Khaled berkata, melalui dana sebanyak itu, diharapkan para mahasiswa dapat menghasilkan satu penyelidikan yang baik demi menambah nilai konsep 1Malaysia yang didukung selama ini.

''Dalam konteks 1Malaysia, mahasiswa wajar memainkan peranan penting menggembleng tenaga dalam usaha memperkukuhkan jati diri dan persiapan menjadi modal insan minda kelas pertama," katanya.

Program tersebut telah dicetuskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM bermula Julai lalu dan mendapat sokongan penuh daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Menurut Yang Dipertua MPPUPM yang juga Pengerusi MPPK, Mohd. Syamsul Salleh, di samping memahami konsep 1Malaysia, program itu juga bertujuan mengembalikan kesedaran mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat sekeliling tanpa mengira kaum.

''Program ini juga turut menerapkan nilai-nilai persamaan dan kerjasama antara mahasiswa pelbagai kaum," ujarnya.

Dipetik daripada: Utusan Online/Dalam Negeri
Accessed: 1.01 pm, 11 Oktober 2009

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP