Kenali Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sesi 2008/2009

Wednesday, December 23, 2009

Shuttle Bas Mines

Salam 1Malaysia!


Untuk pengetahuan semua warga kampus, selain daripada perkhidmatan Bas Komuter disediakan oleh pihak UPM, warga kampus UPM kini mempunyai satu lagi pilihan pengangkutan untuk pergi ke STESEN KTM KOMUTER SERDANG, STESEN LRT SUNGAI BESI dan THE MINES SHOPPING FAIR. Perkhidmatan Bas ini adalah PERCUMA. 

Shuttle Bas Mines ini adalah atas inisiatif pihak The Mines Shopping Fair, UPM dan Aeroline Malaysia. Shuttle Bas Mines ini bergerak setiap 2 jam, bermula daripada Stesen Bas KMR pada pukul 10 pagi setiap hari. Selepas itu, bas akan bertolak ke Stesen KTM Komuter Serdang. Pada pukul 10.30 pagi, bas akan bertolak ke Stesen LRT Sungai Besi dari Stesen KTM Komuter Serdang. Bas akan bertolak ke The Mines Shopping Fair pada pukul 10.45 pagi. Shuttle Bas Mines akan bertolak lagi dari Stesen Bas KMR pada pukul 12 petang dan mengikut masa yang telah ditetapkan. Bas terakhir bertolak daripada Stesen bas KMR pada pukul 8 malam.

Kesemua inisiatif ini adalah demi kesenangan warga kampus. Semoga warga kampus menghargai dan menggunakan kemudahan ini sepenuhnya.

Perhatian:
***Shuttle Bas Mines bukanlah di bawah pihak UPM.
***Jadual masa bas mungkin akan ditukar dari semasa ke semasa atas pertimbangan pihak The Mines dan Aeroline Malaysia tanpa pemberitahuan awal.

Stesen KTM Komuter Serdang 


Stesen LRT Sungai Besi
 

The Mines Shopping Fair
 

ASPIRASI ANDA, INSPIRASI MPP
1HATI, 1INSPIRASI, 1MALAYSIA

Tuesday, December 22, 2009

Kenali Perayaan Di Malaysia: Solstis Musim Sejuk (Dōng Zhì)

Perkataan cina bagi "Soltis Musim Sejuk" adalah 冬至 (Dōng Zhì). 冬 (Dōng) bermakna musim sejuk manakala 至 (Zhì) bermakna ketibaan. Pada zaman purba, ketibaan musim sejuk bermakna kesemua orang akan menghentikan aktiviti pertanian dan meraikan perayaan ini bersama ahli keluarga. Maka, Dōng Zhì disambut dengan meriah oleh orang Cina.

Hari "Solstis Musim Sejuk" atau Dōng Zhì biasanya jatuh pada 21, 22 atau 23 hb Disember setiap tahun. Tapi, Dōng Zhì bagi tahun ini jatuh pada 22 hb Disember ini.

***Untuk mengetahui bilakah Dōng Zhì, kami boleh membuat sedikit pengiraan. Tahun ini adalah 2009 dan bila dibahagi dengan 4, kami mendapat nombor bukan genap. Maka, Dōng Zhì akan jatuh pada hari genap, iaitu 22hb Disember. Pada tahun 2008, kami dapat 502 selepas pengiraan dan Dōng Zhì jatuh pada hari ganjil, iaitu 21hb Disember.

Pada Dōng Zhì, matahari berada paling jauh ke selatan dari khatulistiwa dan paling dekat dengan garisan lintang selatan, iaitu pada 23.5 darjah, dan waktu siangnya menjadi paling pendek dalam masa sepanjang tahun itu.

Walau bagaimanapun, selepas Dōng Zhì berlalu, tempat yang paling dekat dengan matahari akan beransur-ansur beralih ke utara dan menyebabkan waktu siang di hemisfera utara juga beransur-ansur menjadi panjang.

Selain sebagai tanda waktu siang yang terpendek, Dōng Zhì juga dianggap sebagai permulaan kemuncak musim sejuk. Setelah hari itu, suhu udara akan terus menurun, dan biasanya lagi dua-tiga puluh hari, cuaca paling sejuk akan dialami.



Pada hari ini, Dōng Zhì masih merupakan hari perayaan penting bagi kaum Cina. Ahli keluarga kaum Cina di negara Malaysia masih meraikan perayaan ini dengan memakan tāng yuán menandakan keluarga sempurna dan bahagia. Hal ini adalah berlainan di negara China di mana mereka akan meraikannya dengan memakan jiǎo jí, iaitu sejenis makanan yang menyerupai wanton.

Orang Cina juga percaya bahawa hari ini juga adalah ketika setiap orang akan menjadi satu tahun lebih tua. Ada orang Cina juga yang menganggap Dōng Zhì  adalah lebih penting daripada Tahun Baru Cina.



***Tāng Yuán (汤圆) adalah diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini akan dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air manis yang dimasak dengan halia. Tāng Yuán bolehlah bolehlah mempunyai isi seperti kacang tanah, bijian hitam, pasta kacang merah atau tanpa isi. Tāng Yuán yang berbentuk bulat menandakan "reunion", sementara air yang manis membawa tanda bahawa sesiapa yang memakannya akan hidup bahagia dan gembira pada tahun akan datang.

Dipetik dan diolah daripada:
http://malay.cri.cn/741/2009/12/11/24s106541.htm [Online Database: 22 Disember 2009]

Monday, December 21, 2009

Selamat Menyambut Solstis Musim Sejuk (Dōng Zhì) ^^

Salam 1Malaysia!

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sesi 08/09
(MPPUPM 08/09) ingin mengucapkan

Selamat Menyambut Solstis Musim Sejuk! ^^
冬至快乐!((Dōng Zhì Kuài Lè!)



kepada semua warga kampus yang meraikannya...

Thursday, November 26, 2009

Kenali Perayaan Di Malaysia: Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

MENYEMBELIH HAIWAN ADALAH SATU IBADAT SEMASA HARI RAYA AIDILADHA
Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.


 MENUNAIKAN RUKUN ISLAM KE 5, IBADAT HAJI DI MEKAH
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.


MENZIARAHI PUSARA SANAK SAUDARA DAN MEMBACA YASSIN SERTA TAHLIL MENJADI TRADISI ORANG MELAYU PADA SETIAP HARI RAYA
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.


KISAH PENYEMBELIHAN NABI ISMAIL AS
Hari Raya Korban menyaksikan binatang-binatang korban ‘ditumbangkan’ dengan niat untuk melaksanakan syariat Allah. Peristiwa sejarah Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail dijadikan dasar kepada syariat korban. Kisah penyembelihan Ismail ini diceritakan oleh Allah dalam surah As-Shaffat bermula dari ayat 102. Nabi Ibrahim telah bermimpi menyembelih anaknya lantas meminta pandangan anaknya tentang mimpi tersebut. Mimpi para nabi adalah wahyu. Nabi Ismail yang sememangnya seorang anak yang taat kepada perintah Allah terus bersetuju untuk menunaikan perintah Allah itu. Bayangkanlah iman mereka yang teguh itu, hanya keyakinan yang tinggi kepada Allah sahaja yang membolehkan Ibrahim dan Ismail menyempurnakan tugas yang amat berat yang diamanahkan oleh Allah. Namun dengan izin Allah dan kasih sayangNya, akhirnya Nabi Ismail yang hampir disembelih itu digantikan dengan seekor kambing yang seterusnya melapangkan hati Nabi Ibrahim untuk melakukan penyembelihan.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” [ 37 : 102]

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ). [ 37 :103]

Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu[1284] Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. [37 : 104-105]

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. [37 : 106]

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar[1285] [37: 107]

[1284] Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.

[1285]. Sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail a.s. maka Allah melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan korban, Allah menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkannya Qurban yang dilakukan pada hari Raya Haji.

Dipetik Daripada: Blog Sumber Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Negeri Johor
Link: http://psksksd.blogspot.com [Online database: 26 November 2009]

ASPIRASI ANDA, INSPIRASI MPP
1HATI, 1INSPIRASI, 1MALAYSIA

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha ^^

Salam 1Malaysia! 

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sesi 08/09
(MPPUPM 08/09) ingin mengucapkan

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

 
kepada semua umat Islam.

Tuesday, November 17, 2009

Selamat Bercuti!

Salam 1Malaysia kepada seluruh warga UPM! 

Cuti semester datang lagi! Semestinya, rancangan untuk bercuti dah pun dibuat dan inilah masanya untuk merehatkan minda sejenak selepas berhempas pulas pada sesi pembelajaran lalu.

Ucapan SELAMAT BERCUTI daripada MPPUPM 08/09 disini. Gunakanlah peluang bercuti ini bersama keluarga tersayang.

Dalam pada itu, manfaatkanlah cuti semester ini dengan sebaik mungkin agar proses pembelajaran seumur hidup terhadap kita akan terus berjalan walaupun dimana kita berada.

Mudah-mudahan selepas Universiti dibuka nanti, masing-masing melangkah semula ke UPM dengan semangat baru, azam yang baru untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada negara Malaysia.



ASPIRASI ANDA, INSPIRASI MPP
1HATI, 1INSPIRASI, 1MALAYSIA  

Saturday, November 14, 2009

MESYUARAT PENGURUSAN DAN PENILAIAN KUALITI KERJA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UPM SESI 08/09

Perhatian kepada semua ahli Majlis Perwakilan pelajar UPM sesi 2008/2009, Mesyuarat Pengurusan dan Penilaian Kualiti Kerja MPPUPM 08/09 akan diadakan pada tarikh dan waktu seperti berikut:


14 November 2009 (Sabtu)
08.00 malam
Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar UPM 
*kehadiran adalah diwajibkan


"Aspirasi Anda, Inspirasi MPP"

Wednesday, October 28, 2009

MAHASISWA UPMKB CETUS SEMANGAT BERSAMA MASYARAKAT

27 Okt- MPP UPMKB mengorak langkah aktif mengadakan program baktisiswa bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat kampus dengan rakyat Malaysia. Program PUTRA BERILMU BERBAKTI ini diadakan dengan usahasama MPP dan Kelab serta Persatuan UPMKB. Ia dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 14 November 2009 hingga 19 November 2009 di Kampung Patiambung Limbang, Sarawak.

Pengarah Program, Nur Sirah Mohd Tahir yang juga merupakan Exco Kebajikan Pelajar Kampus Bintulu MPP UPM menyatakan "program ini mendapat kerjasama yang sangat baik dari penduduk kampung juga mahasiswa UPM KB."Saya benar-benar bersyukur dengan semangat dan usaha keras urusetia program untuk menjayakan aktiviti ini. program ini dirangka untuk mempromosikan UPMKB kepada masyarakat luar tentang peluang dan peranan UPMKB untuk pendidikan dan sosioekonomi di Sarawak disamping mewujudkan hubungan baik antara mahasiswa dan penduduk kampung".

Katanya lagi, "pelbagai aktiviti akan dijalankan sempena program ini iaitu Majlis Ramah Mesra, Keluarga Angkat, Pertandingan untuk kanak-kanak, sukaneka, ceramah motivasi pelajar sekolah, aktiviti kerohanian, gotong-royong dan pelbagai program lagi yang dirangka bagi memastikan objektif yang digariskan tercapai."

Seorang pelajar UPMKB yang ditemui berkata gembira akan penganjuran program ini dan beliau berharap agar ia diteruskan dimasa hadapan.

Mengulas lanjut program ini, Saudara Shahrul Kamaruddin, Setiausaha Agung MPP merakamkan ucapan syabas dan salam kejayaan kepada semua sekretariat program."Kita MPP dan Mahasiswa UPM Serdang akan mendoakan perjalanan program berjaya dan selamat serta dinaungi rahmat Allah. InsyaAllah kita akan menghantar lima orang wakil mahasiswa ke sana sebagai tanda sokongan kita kepada mereka. Diharapkan program ini akan mengeratkan hubungan masyarakat dan meraikan kepelbagaian etnik tanah air kita".

Sesungguhnya usaha murni ini harus diberi pujian dan ia merupakan kesinambungan semangat Mahasiswa 1Malaysia yang diilhamkan MPP UPM. 1Hati, 1Inspirasi, 1Malaysia.

Tuesday, October 27, 2009

MAKLUM BALAS ISU KETIADAAN BEKALAN AIR




Berikut merupakan maklumbalas yang diterima tentang isu ketiadaan bekalan air di UPM oleh Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Aset UPM (klik di sini) 

Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat gangguan bekalan air pada hari ini 27 Oktober 2009 (Selasa) di seluruh kawasan UPM akibat daripada kebocoran paip air utama. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 28 Oktober 2009 (Rabu).
 
Gunalah air dengan berhemah dan elakkan pembaziran.

Sebarang pertanyaan atau masalah, sila hubungi Bahagian Penyelenggaraan, Pejabat Pembangunan Dan Pengurusan Aset di talian 03-89468888. Sekian, harap maklum.

Mohd Faudzir Abu Bakar

Ketua,
Bahagian Penyelenggaraan,
Pejabat Pembangunan Dan Pengurusan Aset, UPM 

Friday, October 23, 2009

BAJET 2010 : SUARA MAHASISWA DIDENGARI




Dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bil 1/2009 yang telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan telah dijalankan pada Ogos 2009 lalu, Sekretariat YDP dan Presiden MPP Kebangsaan telah berpadu suara dan tenaga untuk memperjuangkan beberapa isu utama yang melibatkan kebajikan mahasiswa.

Pertama, MPPK memohon supaya pinjaman PTPTN ditukarkan statusnya menjadi biasiswa kepada pelajar yang bergraduat dengan kelulusan kelas pertama. Rasional permohonan dan perjuangan ini dilakukan adalah bertujuan untuk memberi perangsang dan pembakar semangat kepada pelajar-pelajar supaya berusaha dengan lebih gigih lagi bagi meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik.

Selain itu, MPPK juga membuat permohonan dan menyuarakan pandangan terhadap isu kenaikan harga tiket pengangkutan awam yang semakin lama semakin membebankan pelajar disebabkan oleh kenaikan harga minyak. Disebabkan isu ini,  pembentangan kertas kerja diketuai oleh YDP MPP UUM, telah sebulat suara memohon agar diskaun khas dapat diberikan kepada pelajar yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dapat segera dilaksanakan oleh kerajaan.


Cadangan ini telah diterima dan akan dikuatkuasakan pada tahun 2010, seperti yang dibentangkan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri kita dalam bajet 2010.
  • PTPTN akan ditukar kepada biasiswa bagi pelajar-pelajar yang bergraduat dengan kelulusan kelas pertama. 
  • Diskaun 50% akan diberikan kepada pelajar yang menggunakan perkhidmatan KTMB.
Sila layari laman web berikut:

Menurut saudara Mohd Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap pengerusi Sekreteriat YDP dan Presiden MPP Kebangsaan (MPPK) ketika diajukan soalan mengenai isu ini "Alhamdulillah, syukur. Ini adalah bukti nyata, bahawa sesungguhnya suara mahasiswa masih didengari dan MPPK masih relevan dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa di peringkat kebangsaan."

Tambahnya lagi "Kami di peringkat MPPK sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin negara dan kerajaan Malaysia kerana membukakan telinga dan mendengar suara dan rintihan mahasiswa. Sesungguhnya bajet 2010 yang dibentangkan oleh PM ini adalah berita baik buat mahasiswa dan sudah pasti ia akan disambut baik oleh kami semua."

Apabila ditanya tentang perkembangan MPPK dan sekreteriat YDP dan Presiden MPP Kebangsaan, Syamsul menjelaskan bahawa "Selepas bajet 2010 ini dibentangkan, Kami sedang berusaha untuk berhubung terus dengan pihak PTPTN sendiri bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang isu PTPTN ini dan segala perkembangan akan dimaklumkan kepada rakan-rakan kemudian. Selain itu, kami juga sedang merangka persediaan terperinci bagi menghadiri pra-persidangan MPPK bil 2/2009 yang akan dijalankan tidak lama lagi dan setakat ini kami sudah sepakat utk memperjuangkan beberapa isu mahasiswa kebangsaan."

Mohd Syamsul dijangka akan menghadiri diskusi mahasiswa bersama wakil KPM yang dianjurkan oleh MPPUPSI pada 30 Oktober 2009 ini untuk bersama-sama  YDP MPP UPSI membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pelajar jurusan pendidikan. 

"Satu Hati, Satu Inspirasi"
"Aspirasi Anda, Inspirasi MPP"