Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009
Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009 telah selamat dijalankan pada 3 Oktober 2009, hari Sabtu, dari pukul 8.30pagi hingga 1.30 petang, bertempat di Dewan Senat UPM. Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009 telah dihadiri oleh MPPUPM 08/09, wakil Majlis Tertinggi Mahasiswa dari kolej, wakil dari persatuan-persatuan serta kelab-kelab pelajar UPM.
Antara perkara yang telah dibincangkan dalam pra persidangan ini adalah cabaran Mahasiswa 1Malaysia dalam konteks UPM, masyarakat dan nasional atau antarabangsa. Isu yang telah dibangkitkan termasuklah isu kemudahan orang kurang upaya(OKU), isu kebersihan kafe, isu kelestarian persekitaran UPM (green kampus), isu kesedaran dan penglibatan pelajar dalam tanggungjawab berbakti kepada masyarakat, Isu Kontroversi Tarian Pendet Enigmatic Malaysia dan keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia serta isu membantu mangsa taufan Ketsana di Vietnam dan Filipina, mangsa tsunami di Samoa serta gempa bumi di Padang, Indonesia.
Beberapa resolusi yang dibangkitkan telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua Pemimpin Pelajar UPM yang menghadiri pra persidangan ini. Antara resolusi yang dipersetujui adalah untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi orang kurang upaya, memantau kebersihan kafe dengan bantuan Kementerian Kesihatan atau Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan menubuhkan tabung sumbangan bagi membantu mangsa bencana taufan Ketsana, tsunami dan gempa bumi di negara jiran Malaysia. Kesemua resolusi ini akan disuarakan kepada pihak pentadbiran universiti dalam persidangan sebenar yang akan dimaklumkan kemudian.
Pra Persidangan Pemimpin Pelajar ini telah berakhir pada jam 1.30 petang.
"Aspirasi Anda, Inspirasi MPP"
"Satu Hati, Satu Inspirasi"
1 comments:
Tahniah semua atas kejayaan penganjuran Pra persidangan....=D
Post a Comment