03 October 2009

KENALI SAMBUTAN PERAYAAN KUIH BULAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakatnya. Terdiri daripada 3 kelompok etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India, Malaysia sering sahaja dihiasi dengan sambutan perayaan masyarakatnya. Salah satu daripada perayaan yang disambut oleh etnik Cina di Malaysia selain Tahun Baru Cina ialah Perayaan Kuih Bulan atau lebih dikenali sebagai Festival Pertengahan Musim Luruh (zhόng qíu中秋) disambut pada setiap 15 hari bulan lapan dalam kalendar lunar. Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas.

Di Malaysia, perayaan ini turut dikenali sebagai Pesta Tanglung. Pada hari ini, pesta ini diraikan dengan santapan kuih bulan dan perarakan tanglung.



Pada awalnya, perayaan Kuih Bulan ini dimulai dengan peringatan kepada Dewi Bulan Chang Er,  mengikut legenda tua dari awal peradaban Han beberapa ribu tahun yang silam. Menurut cerita dongengan, pada zaman purba, terdapat 10 buah matahari di langit, cahaya matahari yang panas terik menyebabkan tanah kering dan berasap, air di laut kering tersejat dan rakyat jelata menghadapi ancaman maut.

Seorang pahlawan, iaitu Raja Negeri You Qiong Dinasti Xia yang bernama Hou Yi mempunyai kuasa misteri dan pandai memanah. Baginda dengan gagah berani telah memanah jatuh 9 buah matahari. Justeru, rakyat jelata memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka dari ancaman maut.

Permaisuri Hou Yi bernama Chang Er dan merupakan seorang jelitawan. Pada suatu hari, Hou Yi memperolehi ubat panjang umur yang dihadiahkan oleh Permaisuri Wang Mu Niang Niang. Katanya orang yang makan ubat panjang umur itu dengan segera akan menjadi dewa atau dewi dan terbang ke kayangan. Hou Yi tidak mahu berpisah dengan permaisurinya. Maka baginda tidak memakan ubat itu dan menyerahkan ubat itu kepada permaisurinya Chang Er untuk disimpan. 

Perkara ini ternampak oleh Peng Meng, pengikut Hou Yi. Semasa Hou Yi keluar bertugas, Peng Meng pergi ke istana Hou Yi dan memaksa Chang Er memberikan ubat panjang umur itu kepadanya. Chang Er mengetahui bahawa dia tidak berdaya melawan Peng Meng. Justeru, dia terpaksa memakan ubat panjang umur itu. Setelah memakan ubat itu, Chang Ee pun terbang dari bumi ke bulan dengan serta-merta.

Apabila Hou Yi kembali ke istana, para dayang telah memberitahu perkara itu kepada Hou Yi sambil menangis. Hou Yi pun sedih menyeru permairusinya di bulan. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang dan dapat nampak bayang permaisurinya yang bergerak di bulan. Maka, Hou Yi bersembahyang untuk permaisurinya Chang Er di bulan dengan meletakkan makanan kegemaran permaisurinya.

Setelah mengetahui bahawa Chang Er terbang ke bulan dan menjadi dewi, rakyat jelata juga beramai-ramai bersembahyang dengan meletakkan pelbagai jenis makanan semoga Chang Er di bulan menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka. Lama-kelamaan, adat menyembahyangkan bulan pada 15 hb, bulan 8 kalendar lunar Cina telah menjadi adat-resam rakyat Cina dan menjadi Pesta Kuih Bulan Cina.  



Namun tercatat pula bahawa pada masa dinasti Yuan (tahun 1271 – 1368) dimana Negara China dikuasai oleh bangsa Mongol, kaum penjuang Han menggunakan kuih bulan sebagai bahan pengantar sandi agar rakyat Han secara serentak memulai pemberontakan terhadap pemerintah Mongol pada tanggal 15 bulan 8 kalendar lunar. Setelah dinasti Yuan berakhir dan dimulainya dinasti Ming, perayaan Kuih Bulan juga diasosiasikan dengan perjuangan orang Han melawan Mongol.

 Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Pada masa kini, berbagai-bagai jenis kuih bulan yang telah dipromosikan oleh peniaga. Menurut legenda, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.


Walaupun terdapat banyak cerita dongeng yang berbeza tentang asal-usul Pesta Kuih Bulan, tetapi makan kuih bulan merupakan perkara penting dalam perayaan ini. Kuih bulan yang berbentuk bulat turut dikenali sebagai “kek penyatuan”, menjadi simbol bersatu-padu. Sungguhpun zaman sudah berbeza, tetapi Perayaan Kuih Bulan tetap merupakan kesempatan bagi kaum Cina untuk mengutarakan perasaan akrab antara anggota keluarga dan sanak saudara serta berdoa memohon restu dan nasib baik.


Dipetik daripada Pesta Kuih Bulan
http://malay.cri.cn/chinaabc/chapter18/chapter180103.htm

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP