05 May 2009

Persidangan Penggubalan Kaedah Tatatertib Pelajar : Suara Pelajar Masih Didengar

Saudara Mohd Syamsul Salleh, merangkap Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sesi 2008/2009 (MPPUPM08/09) telah dipanggil untuk menyertai persidangan penggubalan kaedah tatatertib pelajar di Domanie Hotel, Kuching bersama-sama wakil MPP dari Unimas dan UMS. Tujuan persidangan ini diadakan adalah bertujuan untuk menyemak kembali dan memurnikan kaedah tatatertib yang digunakan untuk menangani masalah disiplin pelajar IPT. Persidangan ini merupakan persidangan kedua yang dijalankan sebelum draf terakhir dihantar kepada Majlis Peguam untuk mendapatkan kelulusan.

Dalam persidangan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu, tidak terdapat banyak perkara hangat yang dibincangkan kerana kebanyakan perkara yang dimurnikan hanyalah terhadap perkataan-perkataan yang terkandung dalam kaedah tersebut. Namun keadaan perbincangan mula menjadi hangat apabila wujudnya cadangan untuk menaikkan kadar saman/denda ke atas pelajar yang melakukan kesalahan tatatertib daripada maksimum RM200 kepada maksimum RM500 dan juga cadangan meningkatkan kadar bayaran hukuman terus dengan amaran daripada maksimum RM50 kepada RM100.

Menyedari akan kepentingan untuk membela dan memperjuangkan kebajikan pelajar yang sememangnya sudah cukup tertekan dengan masalah kewangan yang semakin lama semakin membebankan maka Saudara Mohd Syamsul Salleh(YDP UPM) bersama-sama dua wakil MPP Unimas dan UMS sebulat suara membantah cadangan tersebut dan memohon agar kadar saman/denda dikekalkan seperti mana yang sedia terpakai sebelum ini. Malah wakil pelajar dalam persidangan ini turut mengutarakan satu cadangan agar kaedah tatatertib yang ingin digubal perlulah memperuntukan satu bentuk hukuman alternatif seperti mana yang dijalankan di universiti-universiti bertaraf dunia yang lain iaitu dengan mengenakan hukuman yang berbentuk “community service”.

Hasil perbincangan secara professional ahli mesyuarat akhirnya cadangan wakil pelajar untuk mengekalkan kadar bayaran saman/denda dan cadangan untuk membentuk hukuman alternatif “community service” telah diterima dan dimasukkan di dalam kaedah sebelum ia dihantar untuk diluluskan oleh Majlis Peguam.

Kini, kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2008/2009 sedang menantikan perkembangan draf kaedah ini sama ada ia boleh digunakan ataupun tidak.

"ASPIRASI ANDA INSPIRASI MPP"

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP