07 October 2009

Pembekuan Penempatan Guru Mulai 2010?

Yang Dipertua MPPUPM 08/09, saudara Mohd Syamsul Salleh dan pemimpin pelajar yang lain akan membuat perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut bertindak selaku Menteri Pelajaran Malaysia pada hari Jumaat ini bagi mendapatkan penjelasan tentang status penempatan guru.

Untuk makluman semua, kenyataan bahawa penempatan guru ke sekolah di seluruh negara akan dibekukan mulai tahun depan ini dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa 3 Oktober lepas.

Dalam pada itu katanya, pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia.

Maklumat selanjutnya berkenaan hasil perjumpaan akan dimaklumkan selepas perjumpaan.
 

"Aspirasi Anda, Inspirasi MPP"

"Satu Hati, Satu Inspirasi"



Read more...

04 October 2009

Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009



Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009 telah selamat dijalankan pada 3 Oktober 2009, hari Sabtu, dari pukul 8.30pagi hingga 1.30 petang, bertempat di Dewan Senat UPM. Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009 telah dihadiri oleh MPPUPM 08/09, wakil Majlis Tertinggi Mahasiswa dari kolej, wakil dari persatuan-persatuan serta kelab-kelab pelajar UPM.

Antara perkara yang telah dibincangkan dalam pra persidangan ini adalah cabaran Mahasiswa 1Malaysia dalam konteks UPM, masyarakat dan nasional atau antarabangsa. Isu yang telah dibangkitkan termasuklah isu kemudahan orang kurang upaya(OKU), isu kebersihan kafe, isu kelestarian persekitaran UPM (green kampus), isu kesedaran dan penglibatan pelajar dalam tanggungjawab berbakti kepada masyarakat, Isu Kontroversi Tarian Pendet Enigmatic Malaysia dan keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia serta isu membantu mangsa taufan Ketsana di Vietnam dan Filipina, mangsa tsunami di Samoa serta gempa bumi di Padang, Indonesia.

Beberapa resolusi yang dibangkitkan telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua Pemimpin Pelajar UPM yang menghadiri pra persidangan ini. Antara resolusi yang dipersetujui adalah untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi orang kurang upaya, memantau kebersihan kafe dengan bantuan Kementerian Kesihatan atau Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan menubuhkan tabung sumbangan bagi membantu mangsa bencana taufan Ketsana, tsunami dan gempa bumi di negara jiran Malaysia.  Kesemua resolusi ini akan disuarakan kepada pihak pentadbiran universiti dalam persidangan sebenar yang akan dimaklumkan kemudian.

Pra Persidangan Pemimpin Pelajar ini telah berakhir pada jam 1.30 petang.

"Aspirasi Anda, Inspirasi MPP"

"Satu Hati, Satu Inspirasi"

Read more...

03 October 2009

Pra Persidangan Pemimpin Pelajar UPM 2009

Dimaklumkan bahawa Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2008/2009 (MPPUPM 08/09) akan mengadakan Pra-Persidangan Pemimpin-Pemimpin Pelajar UPM pada :


03 Oktober 2009 (Sabtu)
08.00 pagi - 1.30 petang

Dewan Senat, UPM

Tujuan utama Pra-Persidangan ini diadakan adalah sebagai persediaan awal pemimpin-pemimpin pelajar bagi merangka cadangan penambahbaikan terhadap apa sahaja isu yang berlaku di dalam dan luar kampus sebelum disuarakan kepada pihak pentadbiran universiti dalam persidangan sebenar yang akan dimaklumkan kemudian. Inisiatif menganjurkan persidangan ini juga adalah bertujuan untuk memudahkan proses menyuarakan pandangan daripada kalangan pemimpin-pemimpin pelajar terus kepada pihak berwajib melalui saluran yang betul. Diharapkan persidangan ini mampu untuk menggabungkan suara mahasiswa demi kebaikan dan kebajikan bersama.

"Aspirasi Anda, Inspirasi MPP"
"Satu Hati, Satu Inspirasi"

Read more...

KENALI SAMBUTAN PERAYAAN KUIH BULAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakatnya. Terdiri daripada 3 kelompok etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India, Malaysia sering sahaja dihiasi dengan sambutan perayaan masyarakatnya. Salah satu daripada perayaan yang disambut oleh etnik Cina di Malaysia selain Tahun Baru Cina ialah Perayaan Kuih Bulan atau lebih dikenali sebagai Festival Pertengahan Musim Luruh (zhόng qíu中秋) disambut pada setiap 15 hari bulan lapan dalam kalendar lunar. Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas.

Di Malaysia, perayaan ini turut dikenali sebagai Pesta Tanglung. Pada hari ini, pesta ini diraikan dengan santapan kuih bulan dan perarakan tanglung.



Pada awalnya, perayaan Kuih Bulan ini dimulai dengan peringatan kepada Dewi Bulan Chang Er,  mengikut legenda tua dari awal peradaban Han beberapa ribu tahun yang silam. Menurut cerita dongengan, pada zaman purba, terdapat 10 buah matahari di langit, cahaya matahari yang panas terik menyebabkan tanah kering dan berasap, air di laut kering tersejat dan rakyat jelata menghadapi ancaman maut.

Seorang pahlawan, iaitu Raja Negeri You Qiong Dinasti Xia yang bernama Hou Yi mempunyai kuasa misteri dan pandai memanah. Baginda dengan gagah berani telah memanah jatuh 9 buah matahari. Justeru, rakyat jelata memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka dari ancaman maut.

Permaisuri Hou Yi bernama Chang Er dan merupakan seorang jelitawan. Pada suatu hari, Hou Yi memperolehi ubat panjang umur yang dihadiahkan oleh Permaisuri Wang Mu Niang Niang. Katanya orang yang makan ubat panjang umur itu dengan segera akan menjadi dewa atau dewi dan terbang ke kayangan. Hou Yi tidak mahu berpisah dengan permaisurinya. Maka baginda tidak memakan ubat itu dan menyerahkan ubat itu kepada permaisurinya Chang Er untuk disimpan. 

Perkara ini ternampak oleh Peng Meng, pengikut Hou Yi. Semasa Hou Yi keluar bertugas, Peng Meng pergi ke istana Hou Yi dan memaksa Chang Er memberikan ubat panjang umur itu kepadanya. Chang Er mengetahui bahawa dia tidak berdaya melawan Peng Meng. Justeru, dia terpaksa memakan ubat panjang umur itu. Setelah memakan ubat itu, Chang Ee pun terbang dari bumi ke bulan dengan serta-merta.

Apabila Hou Yi kembali ke istana, para dayang telah memberitahu perkara itu kepada Hou Yi sambil menangis. Hou Yi pun sedih menyeru permairusinya di bulan. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang dan dapat nampak bayang permaisurinya yang bergerak di bulan. Maka, Hou Yi bersembahyang untuk permaisurinya Chang Er di bulan dengan meletakkan makanan kegemaran permaisurinya.

Setelah mengetahui bahawa Chang Er terbang ke bulan dan menjadi dewi, rakyat jelata juga beramai-ramai bersembahyang dengan meletakkan pelbagai jenis makanan semoga Chang Er di bulan menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka. Lama-kelamaan, adat menyembahyangkan bulan pada 15 hb, bulan 8 kalendar lunar Cina telah menjadi adat-resam rakyat Cina dan menjadi Pesta Kuih Bulan Cina.  



Namun tercatat pula bahawa pada masa dinasti Yuan (tahun 1271 – 1368) dimana Negara China dikuasai oleh bangsa Mongol, kaum penjuang Han menggunakan kuih bulan sebagai bahan pengantar sandi agar rakyat Han secara serentak memulai pemberontakan terhadap pemerintah Mongol pada tanggal 15 bulan 8 kalendar lunar. Setelah dinasti Yuan berakhir dan dimulainya dinasti Ming, perayaan Kuih Bulan juga diasosiasikan dengan perjuangan orang Han melawan Mongol.

 Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Pada masa kini, berbagai-bagai jenis kuih bulan yang telah dipromosikan oleh peniaga. Menurut legenda, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.


Walaupun terdapat banyak cerita dongeng yang berbeza tentang asal-usul Pesta Kuih Bulan, tetapi makan kuih bulan merupakan perkara penting dalam perayaan ini. Kuih bulan yang berbentuk bulat turut dikenali sebagai “kek penyatuan”, menjadi simbol bersatu-padu. Sungguhpun zaman sudah berbeza, tetapi Perayaan Kuih Bulan tetap merupakan kesempatan bagi kaum Cina untuk mengutarakan perasaan akrab antara anggota keluarga dan sanak saudara serta berdoa memohon restu dan nasib baik.


Dipetik daripada Pesta Kuih Bulan
http://malay.cri.cn/chinaabc/chapter18/chapter180103.htm

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP