02 June 2009

MPP UPM Tubuh Tabung Bantu Pelajar

Artikel dari Ruangan Bistari, Harian Metro, 01 Jun 2009

BAGI menjaga kebajikan warga Universiti Putra Malaysia (UPM), Majlis Perwakilan Pelajarnya (MPP) dengan kerjasama Majlis Tertinggi Pelajar Kolej Kediaman (MTPKK), menubuhkan Tabung Amanah Kebajikan Pelajar khusus membantu mereka yang memerlukan.

Presiden MPPUPM, Mohd Syamsul Salleh, berkata penubuhan tabung amanah kebajikan pelajar ini cetusan idea barisan MPP bagi membantu pelajar yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, melihat kutipan yang diperoleh dan sokongan warga UPM, pengurusan universiti mencadangkan tabung itu diteruskan untuk kebajikan pelajar.

“Setiap pelajar yang mempunyai masalah terutama kewangan akan merujuk kepada bahagian hal ehwal pelajar untuk meminta bantuan. Namun, untuk mendapatkan bantuan itu, mereka perlu menunggu sedikit masa bagi proses kelulusan dan kami berharap tabung itu membantu pelajar yang memerlukan secepat mungkin bagi membolehkan mereka belajar tanpa gangguan,” katanya.

Syamsul juga berkata, tabung hasil kerjasama MTPKK dapat merapatkan hubungan barisan MPP dengan warga UPM.

“Dari segi kebajikan, pelajar sangat jauh daripada MPP kerana tidak mempunyai dana membantu jika mempunyai masalah.

“Jadi dengan adanya tabung ini, pelajar boleh mendapatkan bantuan terus daripada MPP dan merapatkan hubungan antara kami warga UPM,” katanya.

Dalam usah mengumpul dana, MPP dan MTPKK merancang pelbagai program dan aktiviti amal untuk membantu mengisi tabung itu.Menurutnya, dia mencadangkan tabung ini kepada semua MPP di institusi pengajian tinggi.

“Tabung ini meringankan beban warga universiti selain membuktikan barisan MPP sentiasa bersama pelajar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Read more...

16 May 2009

Persidangan Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009

UPM 08/09 sempat merakamkan gambar bersama Menteri Pengajian Tinggi Malaysia


Penyerahan Poster Kabinet MPPUPM 08/09 oleh YDP kepada Menteri KPT
Seramai 25 deligasi MPPUPM sesi 2008/2009 yang diketuai oleh Saudara Mohd Syamsul Salleh, Yang Dipertua MPPUPM sedang menghadiri Persidangan Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar anjuran Universiti Tun Hussin Onn Malaysia dan Majlis Kepimpinan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Persidangan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari yang bermula pada 15 Mei 2009 - 20 Mei 2009 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.


Antara pengisian yang terdapat dalam persidangan ini termasuklah Forum Akademik bersama Tokoh yang turut melibatkan Yang Dipertua MPP UTHM dan UPSI sebagai ahli panel, Sesi Bersama Datuk Prof. Dr. Ramlah Adam dan Datuk Dr. Adham Baba, Sesi Bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil ahli MPP yang terpilih, Aktiviti Pemimpin Pelajar Bersama Masyarakat, dan banyak lagi.

Lebih membanggakan apabila persidangan ini juga telah menyediakan ruang kepada Yang Dipertua MPP UPM sesi 2008/2009 untuk terlibat sama dalam membentangkan kertas kerja kajian pembangunan sahsiah pada hari ketiga persidangan dan beliau turut dijemput untuk menjadi ahli panel dalam Forum Suara Siswa yang disiarkan secara langsung menerusi RTM pada jam 8.00 malam 19 Mei 2009 (Selasa) yang akan dipengerusikan oleh Dr Fadzley Yaacub.

Persidangan ini telah melibatkan seluruh IPTA Malaysia.

Dalam aktiviti lain, saudara Hanafi Md Ali (Naib yang dipertua) dan saudara Khairul Syazwali Taib (Ketua Sekreteriat Perencanaan Operasi) telah menjalankan kewajipan dan tanggungjawab untuk mewakili MPP UPM ke Perhimpunan Belia Kebangsaan yang diadakan di MITC, Ayer keroh Melaka pada 14 – 16 Mei 2009.

Read more...

14 May 2009

GEMPUR KEBAJIKAN MPP : Prasarana Di Sekitar UPM Perlu Penambahbaikan Segera

Pada 11 Mei 2009 (Isnin), Mesyuarat Gerak Gempur Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM 08/09) telah diadakan di pejabat MPP. Menerusi mesyuarat tersebut, Yang Dipertua MPP UPM telah mengarahkan ahli exco MPP untuk turun melakukan pemantauan keadaan prasarana dan kemudahan yang terdapat di sekitar kampus UPM. Antara ahli Majlis Perwakilan pelajar yang terlibat dalam gerakan ini termasuklah saudara Ong Guang Xin, saudara Chai Chin Ling, Saudari Nina Fatma Ali dan saudari Fatma Sabariah Alias.

Susulan daripada pemantauan yang dilakukan, kami di Majlis Perwakilan pelajar mendapati terdapat terlalu banyak kemudahan dan prasarana yang terdapat di UPM berada dalam kerosakan teruk kerana tidak diselenggara dengan baik. Menyedari akan kepentingan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar-pelajar kampus terjaga, maka kami di pihak Majlis Perwakilan Pelajar menggesa pihak pengurusan untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan keatas kemudahan-kemudahan ini dalam kadar yang segera. Berikut merupakan gambar-gambar yang dirakamkan oleh ahli MPP semasa melakukan pemantauan di sekitar kampus :

Keadaan Pagar Yang Rosak


Keadaan Longkang Yang Bermasalah



Keadaan Kemudahan Perhentian Bas Yang Tidak Diselenggara Dengan Baik



Keadaan Jalan Raya Yang Rosak Dan Membahayakan Keselamatan Pelajar


Pengurusan Sampah Yang Tidak Teratur Di Belakang Putra Food Court UPM.

Read more...

MPP LAWAT PELAJAR UPM SELEPAS PEMBEDAHAN

Pada 14 Mei 2009, seramai 11 anggota Majlis Perwakilan Pelajar UPM mewakili seluruh warga UPM telah melawat seorang pelajar UPM di Pusat Perubatan Universiti Malaya susulan pembedahan yang dijalani beliau pada 12 Mei 2009. Untuk makluman, pelajar tersebut menghidapi penyakit adolescent skoliosis yang menyebabkan tulang belakang beliau membengkok sebanyak 66 darjah. Beliau memerlukan pembedahan segera untuk mengelakkan gangguan berlaku pada sistem pernafasan yang boleh mengakibatkan maut. Pembedahan tersebut telah menelan belanja sebanyak RM20 000 dan pihak keluarga pesakit mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan warga UPM yang telah sudi mendermakan wang untuk meringankan kos pembedahan beliau. Beliau dijangka dibenarkan pulang pada 16 Mei 2009.

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP