Sepang, 12 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua institusi pengajian tinggi Malaysia memperjuangkan isu kemiskinan pelajar.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata MPP perlu menjadikan isu itu sebagai isu utama kerana masih ramai pelajar universiti yang mengalami masalah kewangan yang menjejaskan prestasi akademik mereka.
“MPP perlu guna semua jaringan yang ada untuk mengetahui lebih mendalam masalah ini supaya ia dapat diatasi dengan efisien melalui kerjasama dengan pihak universiti.
“Jika MPP merasakan ini adalah masalah utama, mereka boleh mengutarakannya ke Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bengkel Training of Trainers Kokurikulum Berkredit Institusi Pengajian Tinggi di sini.
Sementara itu, Setiausaha Agong MPP Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Md Akhir berkata beliau sependapat dengan Datuk Saifuddin mengenai isu itu kerana ia bukanlah isu yang baru dan akan menjadi tumpuan MPP setiap tahun untuk membela mereka yang miskin.
“MPP akan mengumpul data pelajar miskin terlebih dahulu dengan mengedarkan borang aduan kepada pelajar di setiap fakulti yang akan di laksanakan tidak lama lagi oleh wakil MPP fakulti.
“Kerjasama daripada setiap pelajar juga amat diperlukan kerana kami mengharapkan agar masalah ini akan dapat diatasi dengan segera supaya ia tidak akan mengganggu kehidupan pelajar,” katanya.
SERDANG, 4 Mac – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut baik subjek Asas Keusahawananyang baru diperkenalkan tahun lepas dalam usaha untuk membentuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar UPM.
Pelajar UPM sibuk berjualbeli di Latar Siswa FBMK
Pelajar tahun dua Bacelor Komunikasi, Ahmad Aminuddin Karim, 24 (gambar) berkata subjek itu mendedahkan kepada beliau dan rakan-rakannya asas keusahawanan yang selama ini tidak pernah beliau tahu sejak dari sekolah lagi.
“Dengan subjek ini, saya didedahkan kepada banyak perkara baru seperti rancangan perniagaan, perancangan kewangan dan bagaimana cara hendak menjana pendapatan sendiri yang dapat dijadikan sebagai wang tambahan saya dan rakan-rakan," katanya.
Pelajar tahun dua Bacelor Komunikasi, Wong Ju Nee,22 (gambar) berkata beliau sangat menyokong kewujudan subjek itu kerana pelajar bukan saja diajar secara teori tetapi praktikal dengan membuka gerai untuk berniaga di lokasi yang telah ditentukan.
“Perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah seperti saya selalu fikirkan kerana banyak proses perlu dilakukan supaya perniagaan yang kumpulan saya lakukan tidak mendatangkan kerugian,” katanya.
Pelajar tahun tiga Bacelor Bahasa Asing, Ummi Nadhirah Rosli, 22 (gambar) berkata beliau mencadangkan kepada UPM agar membenarkan pelajar membuka gerai di luar kampus supaya pendedahan yang diberikan akan lebih menyeluruh.
“Selain itu, saya juga berharap agar pelajar dapat menvariasikan lagi produk-produk yang dijual pada masa akan datang kerana selama ini saya lihat makanan adalah produk yang sering dipilih,” katanya. (Berita ditulis oleh Hazwan Faisal Mohamad)
BANGI, 6 Mac - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) menghadiri perjumpaan MPP Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi 2009/ 2010 bersama Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) di sini.
Perjumpaan itu melibatkan semua MPP dari 20 IPTA bagi membincangkan hala tuju MPP selain membincangkan hal-hal isu pelajar dan mencari langkah penyelesaian yang berkesan.
Yang di Pertua MPPUPM Syed Muhammad Adam Syd Abd. Rahman berkata perjumpaan itu penting kerana ia adalah perjumpaan kali pertama antara semua MPP dari setiap IPTA.
“Saya berharap agar perjumpaan ini akan menjadi satu jambatan dalam mengeratkan lagi hubungan setiap MPP supaya jalinan yang terjalin nanti akan memudahkan lagi kerjasama pada masa akan datang.
“UPM sentiasa mengalu-alukan kehadiran MPP universiti lain yang ingin mengadakan kerjasama dengan kami dan kami memberi jaminan akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Syed Adan (duduk kanan sekali) bergambar bersama-sama YDP MPP universiti lain dan pegawai BHEPP
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Dr. Rujhan Mustafa dalam ucapannya berkata persepsi masyarakat yang memandang Institusi Pengajian Tinggi Swasta adalah lebih baik dari IPTA perlu diubah kerana ia akan menjejaskan kualiti graduan IPTA apabila memasuki pasaran kerja kelak.
“Saya juga berharap agar setiap pemimpin pelajar yang hadir pada hari ini akan bersama-sama membantu kementerian meningkatkan kecemerlangan universiti masing-masing dari aspek akademik dan kokurikulum,” katanya.
Syed Adam (empat dari kanan) dengan pemimpin pelajar bergambar bersama Prof. Dr. Rujhan (tengah)
Pada majlis yang sama, 17 YDP dan 3 diwakili oleh Timbalan YDP MPP memperkenalkan kabinet masing-masing sebelum mengadakan perbincangan kumpulan mengenai kertas kerja Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.