14 March 2010

KPT Minta MPP IPT Perjuang Isu Kemiskinan Pelajar


Sepang, 12 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua institusi pengajian tinggi Malaysia memperjuangkan  isu kemiskinan pelajar.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata MPP perlu menjadikan isu itu sebagai isu utama kerana masih ramai pelajar universiti yang mengalami masalah kewangan yang menjejaskan prestasi akademik mereka.
“MPP perlu guna semua jaringan yang ada untuk mengetahui lebih mendalam masalah ini supaya ia dapat diatasi dengan efisien melalui kerjasama dengan pihak universiti.
“Jika MPP merasakan ini adalah masalah utama, mereka boleh mengutarakannya ke Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bengkel Training of Trainers Kokurikulum Berkredit Institusi Pengajian Tinggi di sini.
Sementara itu, Setiausaha Agong MPP Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Md Akhir berkata beliau sependapat dengan Datuk Saifuddin mengenai isu itu kerana ia bukanlah isu yang baru dan akan menjadi tumpuan MPP setiap tahun untuk membela mereka yang miskin.
“MPP akan mengumpul data pelajar miskin terlebih dahulu dengan mengedarkan borang aduan kepada pelajar di setiap fakulti yang akan di laksanakan tidak lama lagi oleh wakil MPP fakulti.
“Kerjasama daripada setiap pelajar juga amat diperlukan kerana kami mengharapkan agar masalah ini akan dapat diatasi dengan segera supaya ia tidak akan mengganggu kehidupan pelajar,” katanya.
(Berita ditulis oleh Hazwan Faisal Mohamad)

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP