16 May 2009

Persidangan Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009

UPM 08/09 sempat merakamkan gambar bersama Menteri Pengajian Tinggi Malaysia


Penyerahan Poster Kabinet MPPUPM 08/09 oleh YDP kepada Menteri KPT
Seramai 25 deligasi MPPUPM sesi 2008/2009 yang diketuai oleh Saudara Mohd Syamsul Salleh, Yang Dipertua MPPUPM sedang menghadiri Persidangan Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar anjuran Universiti Tun Hussin Onn Malaysia dan Majlis Kepimpinan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Persidangan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari yang bermula pada 15 Mei 2009 - 20 Mei 2009 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.


Antara pengisian yang terdapat dalam persidangan ini termasuklah Forum Akademik bersama Tokoh yang turut melibatkan Yang Dipertua MPP UTHM dan UPSI sebagai ahli panel, Sesi Bersama Datuk Prof. Dr. Ramlah Adam dan Datuk Dr. Adham Baba, Sesi Bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil ahli MPP yang terpilih, Aktiviti Pemimpin Pelajar Bersama Masyarakat, dan banyak lagi.

Lebih membanggakan apabila persidangan ini juga telah menyediakan ruang kepada Yang Dipertua MPP UPM sesi 2008/2009 untuk terlibat sama dalam membentangkan kertas kerja kajian pembangunan sahsiah pada hari ketiga persidangan dan beliau turut dijemput untuk menjadi ahli panel dalam Forum Suara Siswa yang disiarkan secara langsung menerusi RTM pada jam 8.00 malam 19 Mei 2009 (Selasa) yang akan dipengerusikan oleh Dr Fadzley Yaacub.

Persidangan ini telah melibatkan seluruh IPTA Malaysia.

Dalam aktiviti lain, saudara Hanafi Md Ali (Naib yang dipertua) dan saudara Khairul Syazwali Taib (Ketua Sekreteriat Perencanaan Operasi) telah menjalankan kewajipan dan tanggungjawab untuk mewakili MPP UPM ke Perhimpunan Belia Kebangsaan yang diadakan di MITC, Ayer keroh Melaka pada 14 – 16 Mei 2009.

Read more...

14 May 2009

GEMPUR KEBAJIKAN MPP : Prasarana Di Sekitar UPM Perlu Penambahbaikan Segera

Pada 11 Mei 2009 (Isnin), Mesyuarat Gerak Gempur Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM 08/09) telah diadakan di pejabat MPP. Menerusi mesyuarat tersebut, Yang Dipertua MPP UPM telah mengarahkan ahli exco MPP untuk turun melakukan pemantauan keadaan prasarana dan kemudahan yang terdapat di sekitar kampus UPM. Antara ahli Majlis Perwakilan pelajar yang terlibat dalam gerakan ini termasuklah saudara Ong Guang Xin, saudara Chai Chin Ling, Saudari Nina Fatma Ali dan saudari Fatma Sabariah Alias.

Susulan daripada pemantauan yang dilakukan, kami di Majlis Perwakilan pelajar mendapati terdapat terlalu banyak kemudahan dan prasarana yang terdapat di UPM berada dalam kerosakan teruk kerana tidak diselenggara dengan baik. Menyedari akan kepentingan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar-pelajar kampus terjaga, maka kami di pihak Majlis Perwakilan Pelajar menggesa pihak pengurusan untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan keatas kemudahan-kemudahan ini dalam kadar yang segera. Berikut merupakan gambar-gambar yang dirakamkan oleh ahli MPP semasa melakukan pemantauan di sekitar kampus :

Keadaan Pagar Yang Rosak


Keadaan Longkang Yang Bermasalah



Keadaan Kemudahan Perhentian Bas Yang Tidak Diselenggara Dengan Baik



Keadaan Jalan Raya Yang Rosak Dan Membahayakan Keselamatan Pelajar


Pengurusan Sampah Yang Tidak Teratur Di Belakang Putra Food Court UPM.

Read more...

MPP LAWAT PELAJAR UPM SELEPAS PEMBEDAHAN

Pada 14 Mei 2009, seramai 11 anggota Majlis Perwakilan Pelajar UPM mewakili seluruh warga UPM telah melawat seorang pelajar UPM di Pusat Perubatan Universiti Malaya susulan pembedahan yang dijalani beliau pada 12 Mei 2009. Untuk makluman, pelajar tersebut menghidapi penyakit adolescent skoliosis yang menyebabkan tulang belakang beliau membengkok sebanyak 66 darjah. Beliau memerlukan pembedahan segera untuk mengelakkan gangguan berlaku pada sistem pernafasan yang boleh mengakibatkan maut. Pembedahan tersebut telah menelan belanja sebanyak RM20 000 dan pihak keluarga pesakit mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan warga UPM yang telah sudi mendermakan wang untuk meringankan kos pembedahan beliau. Beliau dijangka dibenarkan pulang pada 16 Mei 2009.

Read more...

13 May 2009

Program Kepimpinan Interaktif Rakan Muda Bersama Menteri Belia Dan Sukan Malaysia 2009

Delegasi Majlis Perwakilan Pelajar UPM sesi 2008/2009 merakamkan gambar bersama Dato' Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia dan Puan Wasitah Hj Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah bahagian pembangunan Rakan Muda Malaysia

Pada 10 Mei 2009 (Ahad) yang lalu, seramai 9 ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2008/2009 (MPPUPM 08/09) yang diketuai oleh Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua telah menghadiri Program Kepimpinan Interaktif bersama Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri belia dan sukan Malaysia sempena majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Belia Rakan Muda IPT 2009 yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.


Dalam perjumpaan tersebut, Dato' Shabery menyatakan pendirian beliau bahawa belia hari ini tidak boleh untuk bersifat pasif dengan hanya mengamalkan sikap menerima dan menanti sahaja usaha kerajaan untuk membangunkan belia, namun belia hari ini perlulah lebih pro-aktif dan kreatif untuk sama-sama menjana idea dalam menyelesaikan masalah belia dan turut aktif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi bagi melahirkan belia yang berkualiti. Tambah beliau lagi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia untuk memberi sokongan padu dan akan turut membantu belia yang mahu menjalankan aktiviti-aktiviti bagi membangunkan belia khususnya pelajar-pelajar di peringkat IPT.

Delegasi MPP UPM 08/09 merakamkan gambar bersama sekreteriat rakan Muda dan pemidato UPM yang menjuarai pertandingan pidato belia rakan muda IPT 2009

Program pada malam tersebut juga menyaksikan saudara Amirrudin Abd. Rahman wakil pemidato Universiti Putra malaysia (UPM) telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Pidato Belia Rakan Muda 2009 sekaligus memastikan gelaran juara pertandingan ini terus berada dalam genggaman UPM buat tahun kedua berturt-turut. Majlis Perwakilan Pelajar mengucapkan tahniah kepada saudara Amirrudin dan Kelab Debat Bahasa Melayu atas kecemerlangan tersebut.

Read more...

05 May 2009

Persidangan Penggubalan Kaedah Tatatertib Pelajar : Suara Pelajar Masih Didengar

Saudara Mohd Syamsul Salleh, merangkap Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sesi 2008/2009 (MPPUPM08/09) telah dipanggil untuk menyertai persidangan penggubalan kaedah tatatertib pelajar di Domanie Hotel, Kuching bersama-sama wakil MPP dari Unimas dan UMS. Tujuan persidangan ini diadakan adalah bertujuan untuk menyemak kembali dan memurnikan kaedah tatatertib yang digunakan untuk menangani masalah disiplin pelajar IPT. Persidangan ini merupakan persidangan kedua yang dijalankan sebelum draf terakhir dihantar kepada Majlis Peguam untuk mendapatkan kelulusan.

Dalam persidangan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu, tidak terdapat banyak perkara hangat yang dibincangkan kerana kebanyakan perkara yang dimurnikan hanyalah terhadap perkataan-perkataan yang terkandung dalam kaedah tersebut. Namun keadaan perbincangan mula menjadi hangat apabila wujudnya cadangan untuk menaikkan kadar saman/denda ke atas pelajar yang melakukan kesalahan tatatertib daripada maksimum RM200 kepada maksimum RM500 dan juga cadangan meningkatkan kadar bayaran hukuman terus dengan amaran daripada maksimum RM50 kepada RM100.

Menyedari akan kepentingan untuk membela dan memperjuangkan kebajikan pelajar yang sememangnya sudah cukup tertekan dengan masalah kewangan yang semakin lama semakin membebankan maka Saudara Mohd Syamsul Salleh(YDP UPM) bersama-sama dua wakil MPP Unimas dan UMS sebulat suara membantah cadangan tersebut dan memohon agar kadar saman/denda dikekalkan seperti mana yang sedia terpakai sebelum ini. Malah wakil pelajar dalam persidangan ini turut mengutarakan satu cadangan agar kaedah tatatertib yang ingin digubal perlulah memperuntukan satu bentuk hukuman alternatif seperti mana yang dijalankan di universiti-universiti bertaraf dunia yang lain iaitu dengan mengenakan hukuman yang berbentuk “community service”.

Hasil perbincangan secara professional ahli mesyuarat akhirnya cadangan wakil pelajar untuk mengekalkan kadar bayaran saman/denda dan cadangan untuk membentuk hukuman alternatif “community service” telah diterima dan dimasukkan di dalam kaedah sebelum ia dihantar untuk diluluskan oleh Majlis Peguam.

Kini, kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2008/2009 sedang menantikan perkembangan draf kaedah ini sama ada ia boleh digunakan ataupun tidak.

"ASPIRASI ANDA INSPIRASI MPP"

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP